The Quotes are powered by Investing.com UK

Wednesday 7 January 2015

In the News : Abd Razak Hussin - Golongan Intelektual Aset Bangun Negara

Abd Razak Hussin
Harian Metro
Published 5 January 2015

Kalau dapat dikaitkan dengan maksud 'intelektual', 'rausyanfikr' atau 'ulil albab', penulis dapat melihat ciri-ciri tiga istilah itu wujud pada susuk Tan Sri Dr Kamal Mat Salih, penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Penbangunan Sosial dan Ekonomi) Universiti Kebangsaan Malaysia pada majlis konvokesyen yang lalu.  Seperti Soedjatmoko Mangoendiningrat, intelektual Indonesia berpengaruh yang resah dengan kemunduran masyarakatnya, demikianlah Kamal Mat Salih, berasa gundah dengan kepincangan masih wujud dalam kalangan rakyat.  Inilah yang beliau intilahkan sebagai cabaran lama dan baru serta kontradiksi pembangunan dalam masyarakat negara ini.

Dalam ucapan penerimaan ijazah kehormat itu, Kamal menyeru khususnya ahli akademik untuk menjadi pemikir dan intelektual yang mengambil tahu, dengan memanfaatkan ilmu tingginya besama-sama mencari penyelesaian terhadap gejolak masyarakat.

Soedjatmoko mengungkapkan dalam bahasa yang mudah, intelektual seharusnya seorang aktivis yang berasa peduli kepada masyarakatnya,
berbicara dan menzahirkan ideanya mungkin juga termasuk tulisan yang difahami khalayaknyamelalui suatu gerakan sosial.  Seorang intelektual harus mampu menggembeling sekumpulan orang lain untuk bekerja bersamanya di tengah masyarakat menangani persoalan mereka.

Konsep terbabit tidak jauh berbeza dengan makna rausyanfikr yang disaran Dr. Ali Shariati, intelektual Iran yang buah pemikirannya menjadi antara faktor pencetus Revolusi Iran pada penghujung 1970-an, khususnya dalam kalangan generasi muda.  Menurut Wan Ahmad Fayhsal "melahirkan Rausyanfikr sebagai kader perjuangan rakyat."  Ali Shariati menakrifkan 'rausyanfikr' sebagai mereka yang mempunyai pemikiran celik, menyedari dan arif mengenai situasi sosial manusia sebenar serta mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi.

Sementara Syed Hussein Al-Atas dalam buku Intelektual Masyarakat Membangun mendefinasikan intelektual sebagai orang yang mengabdikan diri untuk memikirkan idea dan masalah bukan kebendaan dengan menggunakan kemampuan akliahnya untuk merenung, memikir, menakrif, mengartikulasi dan mengambil langkah penyelesaian kemelut yang dihadapi masyarakatnya.

Sedang dalam Islam, istilah digunakan bagi watak yang memiliki siri sedemikian sebagai ulil albab.  Seperti dijelaskan sarjana Melayu sekitar abad ke-16 dan 17, Bukhari Al-Jauhari dalam buku Taj al-Salatin, menurut Shaharir Mohamad Zain, ulil albab disebut seorang budiman yang disanjung sebagai ilmuwan yang tertinggi tarafnya dalam Islam, menjadi penerang kepada kegelapan pemikiran, panduan kepada kecelaruan, penunjuk kepada kesasaran dan rujukan kepada yang hilang pedoman.  Sesuailah dengan ayat Al-Quran, dalam surat Ali Imran (3):110 ertinya: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah."


Harapan Terhadap Ilmuan


http://kamalsalih.blogspot.com/2014/11/kamal-salih-ukm-convocation-2nd.html
Tonton Video berserta Teks Penerimaan Ijazah
Berasaskan konsep intelektual, rausyanfikr dan ulil albab itu ternyata golongan tersebut tidak semestinya mempunya pendidikan tinggi secara formal.  Bagi Soedjatmoko dan Syed Hussein Al-Atas, kalau golongan yang tidak memperoleh pendidikan formal yang tinggi pun berupaya menjadi intelektual, apatah lagi harapan tinggi masyarakat terhadap ilmuwan dan budayawan di universiti.

Lebih menarik apabila Kamal, anak seorang tukang kayu di Kampung Gunung Semanggol, Perak yang merentas pengembaraan ilmu yang luas dan menghimpun pelbagai pengalaman dalam kerjaya dan kehidupan sosial (ahli akademik, penasihat kerajaan, ahli politik, ahli perniagaan dan aktivis sosial), mengajak semua pihak sama ada ahli politik, pemimpin masyarakat madani, ahli akademik dan intelektual serta manusia biasa yang berfikir, terutama generasi pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) bergandingan menagani pelbagai cabaran yang masih bersarang dalam masyarakat Malaysia.

Pembangunan ekonomi dan sosial begitu pesat sejak negara memperoleh kemerdekaan 57 tahun lalu.  Ini hasil penggubalan pelbagai dasar dan program yang menyaksikan struktur ekonomi disusun semula, keluaran kasar ekonomi menigkat 10 kali ganda, penigkatan pendapatan perkapita lima kali ganda, jurang pendapatan antara kaum semakin menurun, penyertaan Bumiputera dalam perniagaan menigkat, kemiskinan mutlak mendekati hampir sifar, peratusan lebih besar anak Bumiputera dalam kerjaya ikhtisas, migrasi ke bandar semakin besar, perkembangan bandar yang pesat, mengkatnya prasarana dan tahap kesihatan penduduk.

Bagaimanapun di sebalik kepesatan dan perkembangan itu, kita masih berhadapan dengan dikotomi pembangunan.

Cabaran ini pula muncul dalam keadaan sosiopolitik yang tidak merangsang keyakinan terhadap masa hadapan bagi generasi muda.  Menurut Kamal: "Keadaan ekonomi dan masyarakat kita yang berbilang kaum, selepas 60 tahun berusaha membina satu negara bangsa Malaysia yang seharusnya menjana keyakinan dalam proses pembangunan ekonomi yang merangkum semua, dewasa ini semacam terancam dengan isu ekstremisme, ketidaktoleransi dan iri hati  kaum dalam hubungan antara rakyat.  Ini diburukkan lagi dengan  isu korupsi dan hilang hormat kepada pemimpin."

Meskipun penganalisis sosial berpendapat, era DEB dengan segala pengertiannya mengenai peranan kerajaan, dokongan ekonomi kapital dan mesra rakyat dan siasah politik yang stabil sudah berlalu dan kini memasuki era liberalisme dan 'open society', namun Kamal berpendapat, peranan pemerintah dalam memenuhi hasrat rakyat masih penting dan relevan.

Menurutnya, bagi menangani cabaran ini, perlu ada dasar pembangunan ekonomi dan sosial generasi kedua pasca DEB.  Dalam konteks itu, beliau mencatatkan kekhuatiran kepada ahli akademik yang kebelakangan ini sebahagiannya enggan terlibat dalam penyelidikan, penasihatan dan pembuatan dasar disebabkan rasa tidak peduli terhadap tuntutan masyarakat terbanyak.  Kalaupun mereka terlibat dalam penyelidikan untuk kenaikan pangkat termasuk menulis dalam jurnal ilmiah bertaraf antarabangsa yang tulisannya hanya dibaca dan dirujuk kelompok kecil.  Sedangkan ilmu serta penyelidikan relevan dijalankan pastinya ada pengaruh ke atas pembuatan dasar pembangunan ekonomi dan sosial negara bangsa.

Kamal mengimbau ahli akademik bahawa mereka adalah pemikir dan intelektual yang diperlukan negara untuk masa hadapan bangsa.  Mereka perlu menampil diri, menyambut dan menangani cabaran demi pembangunan negara maju, toleran, aman dan bertamadun tinggi.

No comments: