The Quotes are powered by Investing.com UK

Sunday 2 November 2014

Kamal Salih - UKM Convocation 2nd November 2014

Kamal Salih MHDR2013 MHDR 2013 UNDP

Streamed live on 2 Nov 2014
SIARAN LANGSUNG MAJLIS KONVOKESYEN UKM KE-42 SIDANG 3 (Ahad – 2 November 2014 Sesi Pagi)
• Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
• UKM-Graduate School of Business

Speech Text:

Teks Ucapan Balas
YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Kamal Mat Salih
Ijazah Kehormat Doktor Falsafah 
(Pembangunan Sosial dan Ekonomi)


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
dan Salam Sejahtera.

Yang Amat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan
Safinaz binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah,
Tunku Panglima Besar Kedah
Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah
Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Yang Berbahagia
Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali
Naib Canselor UKM

Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti
Naib Canselor dan Rektor Institusi Pengajian Tinggi
Timbalan-Timbalan Naib Canselor
Pegawai2 Pengurusan Utama Universiti
Ahli-Ahli Senat dan Ahli-ahli Akademik UKM
Para ibu bapa, dan ahli keluarga yang dihormati
Serta para graduan yang diraikan.

Dengan penuh kesyukuran dan takzimnya, saya mengucapkan setinggi penghargaan dan terimakasih kepada Universiti Kebangsaan Malaysia atas anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sosial dan Ekonomi) di Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia Ke-42 pagi ini.  Saya amat terharu dengan pidatu umum Datuk Naib Canselor UKM tadi memperkenalkan hidup dan kerjaya saya selama ini, dan hanya dapat membalasnya dengan doa Saydina Ali radhiaallahu ‘an: “Subhanallah, jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang diperkatakan mereka, tetapi jadikanlah aku sekecilnya di hatiku.”  Sepanjang ucapan Prof. Datuk Noor Azlan tadi terkenang saya kepada rakan seperjuangan yang  disebut dan beberapa yang tidak disebut oleh beliau yang telah kembali kerahmatullah; antaranya Allahyarham Professor Mokhzani Abdul Majid, Allahyarham Profesor Ismail Salleh, Allahyarham Mahani Awang, Allahyarham Zainal Aznam Abidin, Allahyarham Prof. Osman Rani, Allahyarham Prof. Ishak Shari, Allahyarham Prof. Zainal Abidin Wahid, Allahyarham Dahlan Ismail; dan ramai lagi termasuk Profesor Diraja Ungku Aziz, Zeti Akhtar Aziz, Suleiman Mahbob, tidak tertinggal Hamzah Kassim diantara mereka di barisan hadapan di atas pentas ini, yang masih bersama kita dan yang lain yang mungkin para graduan di sini tidak kenali.  Sumbangan dan perjuangan mereka harus dikenang oleh anda dari generasi milenium ini kerana peranan yang mereka telah mainkan untuk membangun masyarakat dan negara-bangsa Malaysia ini yang tidak terhingga nilainya.



Bagi diri saya, saya amat bersyukur dikurniakan Allah swt peluang untuk menimba ilmu dan menyumbang sekecil apa sekalipun selama empatpuluh tahun saya mulakan kerjaya selepas pulang ke tanahair, dengan keterlibatan saya dalam kajian, perancangan dan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat kita yang berbilang kaum, khususnya bagi mengangkat taraf ekonomi kaum Bumiputera.  Sehubungan itulah, antara lima ijazah kehormat yang telah saya terima sehingga hari ini, anugerah ijazah Kehormat Doktor Falsafah dari UKM pagi inilah yang paling mengembira dan memberi makna kepada saya, dan pengiktirafan universiti ini saya kongsikan dengan rakan-rakan seperjuangan yang saya sebutkan tadi.  Saya bersyukur dengan didikan, dorongan dan bimbingan ibu dan ayah saya, bimbingan para guru dan mentor semasa dan selepas pengajian saya, dan para sahabat dahulu dan sekarang.  Moga-moga Allah mencucuri rahmatnya ke atas roh mereka yang telah pergi.

Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar Kedah,
Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk dan para hadirin sekalian yang saya hormati,

Negara Malaysia telah menikmati pembangunan ekonomi dan sosial yang menyerlah dan membanggakan sejak kemerdekaan negara kita 57 tahun dahulu.  Dengan pengenalan dan terlaksananya Dasar Ekonomi Baru dalam tahun 1970, disusuli Dasar Pembangunan Negara dan Dasar Wawasan Negara, selama hampir 44 tahun, struktur ekonomi negara telah berjaya disusun semula dari ekonomi berasas pertanian dan sumber asli kepada ekonomi berteras perindasterian dan kini menuju ekonomi perkhidmatan dan pengetahuan; keluaran kasar ekonomi negara telah meningkat sepuluh kali ganda, peningkatan pendapatan per kapita lima kali ganda, jurang pendapatan antara kaum yang telah menurun, peratusan bumiputera yang berniaga yang semakin meningkat, kedudukan kemiskinan mutlak berjaya diturunkan hampir ketaraf sifar, peratus anak bangsa bumiputera yang telah diserap ke dalam bidang kerjaya ikhtisas seperti perubatan, perundangan, kejuruteraan dan saintis, perakaunan dan akitek serta bidang kreatif dan inovasi semakin menenambah, kaum desa yang berpindah ke bandar membawa tahap pembandaran sekarang menghampiri 75% seluruh penduduk, bandar-bandar yang telah mengembang, dan jumlah mereka yang menikmati peningkatan pendidikan dan kesihatan semakin meluas serta prasarana pembangunan yang semakin canggih.   Pencapaian pembangunan ekonomi dan masyarakat Malaysia ini sungguh dan seharusnya membanggakan semua.

Bagaimanapun, disebalik kejayaan dasar2 pembangunan selama ini, kita masih berdepan dengan masalah dan cabaran baru dan kontradiksi pembangunan kini dan di abad mendatang yang harus terus ditangani.  Antaranya, cabaran globalisasi dan persaingan ekonomi kapital, ketidakseimbangan pendapatan antara isirumah yang masih berdegil di paras yang belum membanggakan, jurang antara isirumah satu persen tertinggi dan 40% isirumah kebawah dari segi pemilikan harta dan kekayaan yang tetap melebar,  pendapatan median dan kuasabeli isirumah yang masih rendah dalam pada ekonomi menuju taraf negara maju, saiz kelas menengah yang tidak sejajar, kadar kemiskinan relatif termasuk kemiskinan dibandar dan di Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung yang masih tinggi, serta masalah kadar pengangguran kalangan graduan, mutu pendidikan yang rendah berbanding pencapaian antarabangsa walaupun kemudahan dan keluaran universiti dan kolej semakin meningkat, dan sumbar alam seperti air dan biodiversiti dan alam sekitar yang sedang terancam dek pembangunan yang kurang mampan..

Cabaran-cabaran dalam pembangunan negara Malaysia ini muncul pula dalam keadaan sociopolitik dan kemasyarakatan yang tidak merangsang keyakinan kita terhadap masadepan bagi generasi muda, yang diwakili graduan2 yang berada di hadapan kita hari ini.  Keadaan ekonomi dan masyarakat kita yang berbilang kaum, selepas hampir enam puluh tahun berusaha dalam membina satu negara-bangsa Malaysia yang seharusnya menjana keyakinan dalam proses pembangunan ekonomi yang merangkum semua, dewasa ini semacam terancam dengan isu ekstrimisma, ketidaktoleransi dan irihati antara kaum dalam hubungan antara rakyat.  Diburukan pula dengan isu korapsi yang mendadak dan hilanghormat kepada pemimpin, keadaan ini mengundang rasa bimbang kita berdepan dengan masadepan yang tidak menentu.

Ada kalangan penganalisa sosial berpendapat era Dasar Ekonomi Baru dengan segala pengertiannya mengenai peranan kerajaan yang dimonopoli satu kaum, dan dokongan ekonomi kapital atau pasaran mesra rakyat, dan siasah politik yang stabil walau apa pun cabaran, sudah berlalu dan kita sekarang memasuki era liberalisma dan “open society”.  Saya percaya pada sebaliknya.  Seperti kata Tun Dr. Mahathir, perjuangan kita masih belum selesai, masih penting peranan pemerintah dalam melaksana hasrat rakyat umum, dan masih ada tempat bagi pemikir, para intelek dan pejuang bangsa untuk  mencorakkan pembangunan ekonomi dan masyarakat kita yang kita idam sebagai sebuah negara maju, toleran dan aman, dan bertamaddun tinggi.

Inilah cabaran besar yang kita hadapi sekarang.  Ini adalah cabaran yang harus ditangani dengan gandingan ahli politik, pemimpin masyarakat madani, para akademik dan intektual dan manusia biasa yang boleh berfikir.  Untuk menangani cabaran-cabaran yang saya sebutkan tadi perlu pada dasar-dasar pembangunan ekonomi dan sosial “generasi kedua” selepas Dasar Ekonomi Baru.  Dalam konteks inilah saya ingin mencatitkan rasa khuatir dan hilangharapan saya dengan rakan2 akademik yang seolah2 kebelakangan telah mengenepikan malah menolak langsung penglibatan mereka dalam dunia penyelidikan, penasihatan dan pembuatan dasar, untuk mengejar indeks ISI dalam kerja ilmiah mereka.  Mengatakan tugas mereka hanya pada penyelidikan dan terbitan akademik, dan bukan pembuatan dasar, adalah menyangkal bahawa pengetahuan dan ilmu yang mereka paparkan ada impaknya dan pastinya pengaruh keatas pembuatan dasar dan kesan keatas pembangunan ekonomi dan sosial negara-bangsa.  Negara kita amat memerlukan sumbangan anda untuk masadepan bangsa.  Saya merayu kepada generasi  pemikir dan ilmiah pasca-DEB ini untuk menampildiri menyambut cabaran pembangunan negara yang diidam-idamkan rakyat jelata.  Saya harap rakan-rakan tidak berkecilhati atau rasa tersinggung dengan saranan saya ini; jika begitu perihalnya, saya menyusun jari memohon maaf atas keterlanjutan saya itu.

Para graduan sekalian,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan anda dengan anugerah ijazah masing-masing di Majlis Konvokesyen pagi ini. Hari ini adalah hari yang amat penting bagi hayat muda anda, dimana anda akan mengorak langkah pertama kedunia kerjaya.  Saya hanya berdoa kejayaan anda, dan ingin memberi tiga pesanan: pertama, sentiasa berpeganglah kepada tali Allah dalam apapun keadaan gembira atau sedih, berjaya atau gagal, selesa atau membimbangkan; kedua, sentiasa sanjunglah ibubapa kamu atas budi dan pengorbanan mereka untuk kamu sehinggi kini dan tibalah masanya kamu membalas jasa mereka; dan ketiga, kenangilah sumbangan guru-guru kamu di peringkat apa sekali pun, dan pastinya ada dalam hidup kamu kedepan, kerana saya berpegang kepada moto univesiti saya Monash Universiti, yaitu “Ancora Imparo!” – bahasa Latin yang bermaksud “Still Learning” – masih belajar.  Saya ucapkan selamat maju jaya dan berdoa anda sentiasa diperlindungi Allah swt.

Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar Kedah,
Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk dan para hadirin sekalian yangb saya hormati,

Sekian sahaja sembah ucapan saya.

Saya sekali lagi dengan penuh hormat takzimnya merafak sembah serta menzahirkan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah pekenan Yang Amat Mulia Tunku menganugerahkan,  Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sosial dan Ekonomi) kepada saya dalam Majlis Konvokesyen, Universiti Kebangsaan Malaysia Ke-42 ini.

Saya mendoakan agar Yang Teramat Mulia Tunku akan senantiasa dipayungi kerahmatan oleh Allah SWT serta diberikan kesihatan yang berpanjangan. Insyaallah..

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments: