The Quotes are powered by Investing.com UK

Wednesday 7 January 2015

In the News : Nur Jazlan - Agenda Bumiputera jangan di’bangsat’kan



Nampaknya jika ada mana-mana pihak yang cuba menyentuh mengenai perbincangan agenda Bumiputera, sudah pasti mereka akan dihentam dan dituduh dengan pelbagai gelaran serta diancam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu yang berhaluan kanan.

Ini nyata dapat dilihat apabila kenyataan pakar ekonomi, Tan Sri Dr Kamal Salih yang juga bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Ahli Majlis Tertinggi Umno mengenai agenda Bumiputera yang disiarkan sebuah portal berita baru-baru ini, menerima kecaman daripada NGO-NGO Melayu berhaluan kanan.

Perkataan agenda Bumiputera seperti sudah menjadi perkataan suci yang mana tidak boleh mana-mana pihak mengkritiknya walaupun daripada orang Melayu sendiri dengan dilabel sebagai munafik.

Hakikatnya, sebagai kaum majoriti di negara ini dengan populasi melebihi 60% daripada rakyat negara ini, semakin ramai orang Melayu semakin sedar apa yang digubal dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) cetusan pemikiran perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969 juga perlu berubah seiring dengan peredaran masa.

Ia juga perlu seiring dengan pemikiran orang Melayu sendiri yang kini membentuk kelas menengah yang besar mendiami kawasan bandar serta separa bandar, hasil daripada roh agenda Bumiputera yang dimasukkan dalam DEB.

Jika orang Melayu tidak boleh berdebat dan berhujah secara intelektual mengenai agenda Bumiputera dan terus melaungkan kerajaan terus gagal membangunkan kaum Bumiputera atau lebih tepat lagi, orang Melayu... bagaimana agenda Bumiputera ini boleh mencapai matlamatnya pada masa depan?

Ketika ini, segalanya mengenai agenda Bumiputera diletakkan atas bahu kerajaan Barisan Nasional, atau lebih tepat Umno dan selepas 67 tahun ditubuhkan, parti ini dikatakan gagal melaksanakan agenda Bumiputera dengan lebih berkesan.

Kegagalan agenda Bumiputera yang sering dikaitkan dengan lemahnya Umno sesuatu yang amat memelikkan memandangkan segalanya di negara in berkisar kepada orang Melayu.

Terancamkah agenda Bumiputera seperti yang didakwa sesetengah pihak apabila semua perdana menteri termasuk semua menteri besar dan ketua menteri kecuali Pulau Pinang adalah orang Melayu itu sendiri.

Ia ditambah lagi dengan majoriti Ketua Setiausaha kementerian kerajaan Pusat terdiri daripada orang Melayu dan hampir semua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) juga orang Melayu dan jangan lupa jentera keselamatan negara seperti polis dan angkatan tentera didominasi orang Melayu dan Bumiputera.

Jadi mengapa orang Melayu tidak boleh persoalkan atau berhujah mengenai agenda Bumiputera termasuk memberikan pandangan secara terbuka yang kerajaan perlu memikirkan semula pelaksanaan agenda Bumiputera ke arah Malaysia yang lebih baik?

Bukan satu rahsia lagi agenda Bumiputera yang dilaksanakan melalui DEB sebelum bertukar kepada Model Ekonomi Baru (MEB) bersifat memberi, memberi dan terus memberi hasil kerajaan atau lebih tepat lagi wang rakyat.

Tetapi di manakah Indeks Pengukur Prestasi (KPI) agenda Bumiputera ini dan jika diperhatikan daripada laungan orang Melayu terus ketinggalan walaupun DEB sudah dilaksanakan selama empat dekad sudah pasti apa yang dilakukan kerajaan selama ini adalah sesuatu yang salah dan silap.

Berapa banyak sebenarnya yang sudah dilabur serta diberikan kerajaan melalui agenda atau inisiatif Bumiputera ini dan mengikut sebuah akhbar Inggeris arus perdana November tahun lalu, kerajaan sudah membelanjakan sejumlah RM46.5 bilion sebagai suntikan untuk ekonomi Bumiputera melalui 23 program sehingga September lalu.

RM46.5 bilion? Percaya atau tidak, itulah angka yang mungkin sudah dibelanjakan sejak Datuk Seri Najib Razak mengambil alih kerajaan dan wang itu melebihi apa yang dibelanjakan kerajaan untuk membina sistem pengangkutan awam terbesar negara, iaitu MRT yang kemudian digunakan segenap lapisan rakyat.

Mungkin perbandingan itu bagi sesetengah orang langsung tidak tepat, tetapi apa yang hendak saya perkatakan adalah sudah sampai masanya kerajaan mempunyai kayu pengukur terhadap segala wang rakyat yang dibelanjakan melalui agenda Bumiputera.

Mengambil pengalaman saya di UDA selama hampir tiga tahun, semua kontrak Syarikat Milik Kerajaan (GOC) itu diberikan kepada kaum Bumiputera malah penyewaan lot kedai kompleks beli belah syarikat ini juga hampir 95% diberikan kepada kaum Bumiputera.

Tetapi saya tetap dituduh tidak mengutamakan kaum Bumiputera hanya semata-mata mahu berfikir secara luar kotak apabila mahu menjalin kerjasama antara UDA dengan sebuah GLC milik China bagi membangunkan tapak bekas Penjara Pudu.

Walaupun jalinan kerjasama itu bertujuan memelihara kepentingan dan agenda Bumiputera dalam projek pembangunannya, tetapi tetaplah saya dituduh membelakangkan agenda Bumiputera.

Pengkritik saya lupa tanah berkenaan adalah modal UDA dalam projek itu perlu dipadankan dengan modal wang tunai untuk membangunkannya dan tidak ada syarikat Bumiputera yang ada modal tunai berbillion ringgit.

Tetapi ada peluang kontrak pembinaan dan perkhidmatan yang akan dipecah kecil ke ratusan dan puluhan juta ringgit serta boleh diwujudkan selepas modal tunai untuk projek itu diperolehi diperuntukkan khusus untuk Bumiputera.

Atas sebab itu, saya tidak hairan projek pembangunan tanah bekas Penjara Pudu itu masih tidak boleh dimajukan sehingga kini disebabkan manipulasi pelaksanaan agenda Bumiputera ini.

Sememangnya, bagi NGO-NGO Melayu berhaluan kanan ini terdapat penghakiman terpilih untuk mereka yang cuba berfikir di luar kotak bagi melaksanakan agenda Bumiputera dengan terus memberikan pelbagai gelaran dan melemparkan kata-kata kesat kepada bangsa mereka sendiri sebaliknya mahu terus menggunakan wang rakyat bagi membantu kaum Bumiputera.

Di pihak kerajaan pula, semua kontrak kerajaan pula diberikan kepada syarikat Bumiputera tetapi jelas di Malaysia ini, mentaliti ‘know who’ berbanding ‘know how’ menyaksikan sejak sekian lama hanya sekumpulan kecil orang Bumiputera yang berjaya mendapatkan kontrak kerajaan yang lumayan.

Namun adakah mereka ini mengenang budi kerajaan dan ‘membayar’ balik apa yang mereka peroleh daripada kerajaan kepada rakyat Malaysia dengan melaksanakan segala kontrak yang diperoleh dengan baik dan bertanggungjawab?

Jawapannya boleh dinilai terhadap segala kontrak yang diberikan untuk pembinaan infrastruktur awam dengan masih ada bangunan kerajaan bocor serta lebuh raya yang tidak mempunyai kualiti pembinaan baik.

Sebenarnya, hasrat kerajaan amat murni bagi membentuk syarikat Bumiputera yang boleh bersaing dengan kaum lain di negara ini selain mahu ia kemudian bersaing di peringkat antarabangsa.

Ada juga syarikat Bumiputera yang ditatang dengan dulang emas suatu ketika dulu dengan diberikan pelbagai kontrak kerajaan bernilai berbilion ringgit tetapi sehingga kini terus bergantung kepada kerajaan walaupun selepas 20 tahun.

Lihat sahaja syarikat Sapura yang diberikan pelbagai kontrak kerajaan dalam bidang telekomunikasi pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamed dengan harapan akan menjadi sebuah syarikat telekomunikasi dunia suatu hari nanti.

Tetapi apa yang berlaku kini, amat menghairankan apabila syarikat ini setelah menerima bantuan kontrak dan kewangan berbilion ringgit daripada kerajaan kini bertukar bidang perniagaan utamanya kepada syarikat minyak dan gas dengan majoriti kontrak bergantung kepada Petronas.

Timbul juga persoalan ke mana pergi ‘anak emas’ orang Melayu dekad 90-an dulu seperti Tan Sri Halim Saad dan Tan Sri Tajuddin Ramli dan beberapa lagi sebagai ‘taiko’ korporat Melayu sekarang.
Lebih malang selepas pelbagai inisiatif dan wang dibelanjakan untuk agenda Bumiputera membangunkan orang Melayu dan syarikat mereka melalui pemberian kontrak serta perolehan kerajaan, tiada sebuah syarikat Bumiputera yang boleh dibanggakan orang Melayu bersaing di peringkat antarabangsa.

Apa yang dapat dilihat hanyalah pembabitan syarikat GLC di peringkat antarabangsa yang pengurusan tertingginya adalah orang Melayu dengan majoriti diambil bekerja berdasarkan ‘know who’ bukan ‘know how’.

Dan sebenarnya GLC-GLC ini milik rakyat Malaysia, bukan orang Melayu atau Bumiputera semata-mata, jadi apa pencapaian yang harus serta perlu dibanggakan orang Melayu seperti kata Tun Dr Mahathir, orang Melayu terus memerlukan ‘tongkat’ untuk berjaya.

Mengambil pengalaman saya selaku bekas Ahli Lembaga Pengarah TM Bhd, betapa sukarnya untuk GLC ini mencari syarikat Bumiputera yang berkeupayaan dan berdaya tahan bagi melaksanakan kontrak telekomunikasi.

Akibatnya, kontrak terbabit yang perlu juga diberikan kepada syarikat Bumiputera kerana ia dasar kerajaan, diberikan kepada syarikat yang kurang berkemampuan menyebabkan berlaku banyak masalah dalam proses pelaksanaannya.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan agenda Bumiputera yang paling berjaya dilaksanakan sejak DEB dilaksanakan kerajaan adalah dalam bidang pendidikan dan kesannya dapat dilihat dan dirasai apabila kelas menengah orang Melayu lebih besar dibentuk.

Itu satu kejayaan yang perlu dibanggakan dan ia hanya terjadi dengan kekuatan semangat pimpinan Umno terdahulu yang mengetahui pendidikan boleh mengubah nasib orang Melayu dan Bumiputera itu sendiri.

Kemampuan untuk menggembeleng golongan Melayu terpelajar yang ada antara mereka berpeluang belajar di universiti terkemuka luar negara dengan menggunakan wang rakyat juga amat penting bagi membangunkan ekonomi negara berteraskan ilmu.

Hasil minyak negara tidak lagi mampu digunakan kerajaan untuk membiayai cara lama dalam  mewujudkan dan memberikan kontrak pembinaan dan perkhidmatan sama ada ia satu keperluan atau tidak.

Sudah sampai masanya kerajaan memikirkan semula agenda Bumiputera yang hendak dilaksanakan, terutama sekali dalam konteks memberi dan terus memberi dengan mewujudkan KPI terhadap pulangan pelaburan (ROI) yang dilakukan.

Apa yang berlaku pada masa kini, adalah bagi mengurangkan jurang kekayaan antara orang miskin serta kaya dan ia bukan sahaja menjadi masalah kepada orang Melayu serta Bumiputera tetapi juga bukan Bumiputera.

Saya percaya orang Melayu sendiri tidak mahu dipersalahkan atas kegagalan nasib kaumnya yang terus dilihat gagal di buminya sendiri dan terus dicap ‘mengemis’ walaupun menjadi majoriti di negara ini.

Putrajaya perlu segera memikirkan kaedah dan tindakan terbaik dalam menangani perkara ini dan tidak terus dilabelkan mengambil hak bukan Bumiputera semata-mata untuk menjayakan agenda Bumiputera.

Tambah lagi agenda Bumiputera ini juga perlu dipertimbang secara ikhlas kerana Bumiputera di Sabah dan Sarawak juga mempersoalkan kenapa orang Melayu di Semenanjung membolot lebih peluang pendidikan, pekerjaan dan usahawan yang diagihkan daripada mereka.

Pembentangan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) Mei ini, adalah pentas terbaik bagi membuktikan kekayaan negara diagihkan dengan saksama tanpa mengabaikan roh agenda Bumiputera yang sudah sampai masanya, diteliti daripada segi pemberian dan pengagihannya.

Pegawai kerajaan Melayu yang menjaga pentadbiran di kementerian dan jabatan seharusnya tidak iri hati dan menjadi batu penghalang kepada orang Melayu yang mahu merebut peluang untuk bersaing secara merit dan tidak menggunakan agenda Bumiputera untuk memanipulasinya bagi kepentingan diri sendiri.

Perlu diingat DEB tercetus daripada kekacauan Mei 1969 dan selepas 40 tahun dengan dua generasi orang Melayu sudah dilahirkan akan tetapi mentaliti ramai orang Melayu masih tidak progesif dan tidak melihat ke hadapan.

Ia seolah-olah masih berada dalam mimpi pada masa silam walaupun kebanyakan orang Melayu berpendidikan tinggi.

Bagi saya kesalahan terbesar terletak kepada pemimpin negara yang mempunyai kuasa membuat perubahan kepada nasib orang Melayu itu sendiri tapi lebih selesa bersembunyi di belakang NGO-NGO Melayu berhaluan kanan yang berterusan mempunyai mentaliti zaman silam.

Bukankah pemimpin yang sama sentiasa menjual diversiti kaum dan agama penduduk Malaysia sebagai contoh kejayaan ekonomi, politik dan sosial negara atau mereka hanya cakap tak serupa bikin.

No comments: